Masalah talian hilang signal, peranti kerap paparkan ralat “No SIM”, atau sukar buat panggilan walaupun berada di kawasan liputan kuat semua ini boleh menyebabkan ketidakselesaan yang serius. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan komunikasi harian, malah boleh memberi kesan terhadap urusan kerja, perbankan atas talian dan akses kepada aplikasi penting yang bergantung pada nombor mudah alih.
Lagi membimbangkan apabila pengguna tidak pasti sama ada masalah berpunca daripada telefon bimbit atau SIM kad itu sendiri. Ada juga yang keliru sama ada mereka perlukan tukar ke eSIM atau hanya tukar kad fizikal biasa. Jika tidak diambil tindakan segera, isu kecil seperti ini boleh bertukar menjadi masalah besar, terutama jika nombor yang digunakan berkait dengan akaun bank, OTP keselamatan dan lain-lain perkhidmatan penting.
Saya kongsikan panduan lengkap cara tukar SIM card Maxis dan eSIM hilang signal, termasuk bila perlu tukar, caj yang terlibat, dan langkah-langkah keselamatan jika peranti anda hilang atau dicuri.

Waktu Sesuai Untuk Tukar SIM Card Maxis
Sebelum buat keputusan untuk tukar SIM kad atau eSIM, penting untuk anda kenal pasti tanda-tanda awal yang menunjukkan SIM kad sudah bermasalah. Berikut ialah antara isyarat paling biasa:
- Signal kerap hilang walaupun anda berada di kawasan yang biasanya mempunyai liputan baik.
- Telefon memaparkan ralat seperti “No SIM”, “SIM Error” atau tidak boleh dikesan.
- Anda tidak boleh buat atau terima panggilan, SMS atau akses data walaupun baki mencukupi.
- SIM lama dan tidak menyokong sambungan kepada rangkaian 4G atau 5G.
- Anda mahu naik taraf ke eSIM untuk digunakan pada peranti terkini yang menyokongnya.
Jika anda alami mana-mana simptom di atas, tukar SIM kad mungkin dapat selesaikan masalah signal hilang atau sambungan terganggu.
Pilihan Cara Untuk Tukar SIM Card Maxis dan eSIM
Maxis menyediakan beberapa cara mudah dan cepat untuk pelanggan menukar SIM kad mereka, bergantung kepada jenis pelan, peranti dan lokasi anda.
1. Tukar di Maxis Centre atau Maxis Exclusive Partner (MEP)
Cara ini paling selamat dan lengkap. Anda boleh terus hadir ke mana-mana Maxis Centre berhampiran.
- Sesuai untuk semua pelanggan (individu dan bisnes).
- Untuk pelanggan bisnes, sila bawa surat kebenaran dari syarikat.
- Anda akan melalui pengesahan biometrik (cap jari) sebelum SIM diganti.
- Caj RM10 dikenakan untuk penukaran SIM.
2. Tukar Menggunakan Self-Service Kiosk (SSK)
Bagi pelanggan individu dengan akaun aktif, anda boleh buat penukaran secara layan diri di kiosk.
- Hanya untuk pengguna individu berdaftar.
- Tidak tersedia untuk eSIM atau Wireless Broadband.
- Kiosk boleh didapati di lokasi tertentu seperti pusat beli-belah utama.
3. Tukar eSIM Melalui Aplikasi atau QR Code
Untuk pengguna peranti yang menyokong eSIM seperti iPhone atau Samsung terbaru, anda boleh buat pertukaran eSIM secara digital.
- Sesuai untuk talian Maxis, Hotlink dan Business Postpaid.
- Melalui aplikasi Maxis atau Hotlink App.
- Jika perlu, anda juga boleh imbas QR code baharu yang diberikan oleh Maxis Centre.
Untuk pengguna bisnes, penukaran eSIM perlu dihantar melalui wakil syarikat (PIC) di Maxis Business Hub.
Dokumen Yang Diperlukan Semasa Tukar SIM atau eSIM
Semasa hadir ke Maxis Centre atau MEP, pastikan anda bawa dokumen sah berikut:
Untuk pelanggan individu:
- MyKad asal dengan biometrik cap jari
- Pasport asal (untuk warga asing)
Nota: Kad pengenalan sementara atau dokumen salinan tidak diterima.
Untuk pelanggan bisnes:
- Surat kebenaran rasmi daripada syarikat
- Salinan pengenalan diri wakil syarikat
Ini penting untuk elakkan sebarang penyalahgunaan identiti atau penipuan penukaran talian.
Caj Tukar SIM Kad Maxis atau eSIM
Maxis mengenakan caj tetap RM10 untuk setiap penukaran SIM kad, sama ada fizikal atau eSIM. Caj ini merangkumi:
- Penggantian SIM yang rosak atau tidak berfungsi
- Naik taraf dari SIM biasa ke 4G/5G SIM
- Pemindahan eSIM ke peranti lain
- Penggantian selepas kehilangan atau kecurian
Telefon Hilang Bersama SIM Kad
Jika peranti anda hilang atau dicuri bersama SIM kad, tindakan segera perlu diambil untuk lindungi data peribadi dan elakkan penyalahgunaan nombor telefon anda.
Langkah-langkah penting:
- Hubungi Maxis segera – Untuk gantung talian dan sekat akses sementara.
- Buat laporan polis – Nyatakan model telefon dan nombor IMEI dalam laporan.
- Kunci peranti anda dari jauh – Guna aplikasi “Find My” (Apple) atau “Find My Device” (Android).
- Datang ke Maxis Centre – Untuk gantikan SIM dan aktifkan semula talian anda.
- Buat tuntutan insurans peranti – Jika anda dilindungi di bawah Maxis Device Care atau SafeDevice, anda boleh buat tuntutan.
Proses Aktifkan Semula Talian Selepas Kehilangan
Selepas SIM kad diganti, talian anda akan diaktifkan semula serta-merta. Pastikan anda bawa:
- MyKad / Pasport asal
- Laporan polis (jika berkaitan)
- Caj pengaktifan semula RM10 akan dikenakan
Jika anda temui semula telefon lama anda selepas lapor hilang, anda masih boleh aktifkan semula talian tersebut dengan hadir ke Maxis Centre. Maxis akan semak status sebelum sambungan dibuat semula.
Masalah Masih Berlaku Selepas Tukar SIM
Dalam sesetengah kes, walaupun SIM kad telah diganti, signal masih lemah atau panggilan masih terganggu. Ini boleh jadi disebabkan oleh:
- Masalah hardware telefon seperti slot SIM rosak
- Peranti tidak disokong sepenuhnya oleh rangkaian Maxis 4G/5G
- Gangguan kawasan liputan di lokasi tertentu
Anda boleh cuba tukar SIM kad ke peranti lain untuk uji talian atau kunjungi Maxis Centre untuk semakan teknikal lanjut.
Pertimbangkan Juga Penamatan Akaun
Jika anda alami terlalu banyak masalah atau dah tak perlukan nombor Maxis anda, anda juga boleh pertimbangkan untuk menamatkan akaun postpaid Maxis secara rasmi.
Ikuti panduan Cara Terminate Maxis Postpaid Termasuk Refund Duit jika anda ingin hentikan akaun dan pastikan tiada caj tersembunyi dikenakan.
Pastikan Keselamatan dan Signal Anda Sentiasa Stabil
Masalah signal atau kehilangan SIM kad bukan perkara kecil. Ia boleh jejaskan komunikasi penting, akses akaun kewangan, dan keselamatan data anda. Oleh itu, penting untuk anda tahu cara tukar SIM card Maxis dan eSIM hilang signal dengan betul, serta tindakan segera jika berlaku kehilangan atau kecurian.
Sebagai kakitangan Maxis, saya sarankan anda sentiasa jaga kad SIM anda dan peranti dengan baik, dan tukar kepada versi baharu jika anda masih gunakan kad lama. Jangan tunggu sehingga signal hilang sepenuhnya baru bertindak. Jika perlukan bantuan lanjut, datang terus ke Maxis Centre berhampiran atau hubungi kami untuk maklumat lanjut.